KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Panglima Tentera Udara Jen Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris mengadakan lawatan kerja ke Pangkalan Udara Ahmed Al-Jaber, Kuwait bagi meninjau perkembangan penilaian teknikal pesawat pejuang F/A-18 Legacy Hornet milik Tentera Udara Kuwait (KAF), Khamis lepas.
Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) memaklumkan penilaian teknikal berkenaan dilaksanakan Tim Penilaian TUDM yang terdiri daripada lapan pegawai merangkumi kepakaran juruterbang, kejuruteraan dan material sejak 11 Nov lepas hingga 26 Nov ini.
“Pelaksanaan ini diatur bagi memastikan proses penilaian dilaksanakan secara menyeluruh, terperinci dan berlandaskan pertimbangan profesional.
“Penilaian ini amat penting bagi membolehkan TUDM menilai secara keseluruhan aspek teknikal, tahap operasi dan kesiagaan pesawat F/A-18C/D KAF,” menurut TUDM dalam hantaran Facebook.
Hasil penilaian teknikal berkenaan akan menjadi asas rujukan kepada TUDM dan kerajaan Malaysia dalam menilai secara menyeluruh potensi perolehan pesawat terbabit, selaras kepentingan strategik negara serta keperluan pertahanan jangka panjang.
Dalam lawatan itu, Muhamad Norazlan disambut Timbalan Panglima KAF Brig Jen Naser B. N. Al-Waheeb dan diberikan taklimat mengenai keupayaan operasi serta senggaraan pesawat berkenaan, selain turut meninjaunya dengan lebih dekat.
Media sebelum ini melaporkan TUDM akan melakukan penilaian menyeluruh sebelum memuktamadkan perolehan pesawat pejuang itu, antara lain meliputi aspek tarikh penyerahan dan kos perolehan serta penyelenggaraan bagi membolehkan ia terus dioperasikan pada masa hadapan.
Penilaian perolehan pesawat itu dilaksanakan oleh Malaysia susulan kelulusan rasmi daripada Amerika Syarikat selaku negara pengeluar pesawat.
Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semasa mengadakan lawatan ke Kuwait pada 7 Okt 2024 telah mengadakan perbincangan dengan kepimpinan negara itu untuk memperoleh pesawat berkenaan bagi kegunaan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial