SHAH ALAM, 31 Okt (Bernama) -- Sepasang suami isteri dan seorang anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan mengemukakan sebut harga palsu bernilai RM24,200 bagi pembekalan alatan untuk Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi 2025 (LIMA25).
Ketiga-tiga mereka iaitu Citra Angrini Alam Mappiase, 36, Shahrul Nizam Shaf'in, 51, dan Mohamad Amir Bakri Che Abdul, 32, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan terhadap mereka.
Mengikut pertuduhan Citra Angrini didakwa memperdayakan Ketua Staf Markas Pemerintahan Operasi Udara (MPOU) Subang, dengan mengemukakan nilai sebut harga palsu syarikat Protective Trading & Advisory Services bernilai RM24,200 dalam sistem e-Perolehan MPOU TUDM.
Tindakan itu didakwa mendorong pegawai berpangkat Mejar Jeneral berkenaan untuk meluluskan D Draxis Group Sdn Bhd, sebagai pembekal bagi perolehan membekal alatan sokongan untuk penugasan LIMA25.
Manakala, Shahrul Nizam yang juga Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Industri Pertahanan di Kementerian Pertahanan dan Mohamad Amir yang berpangkat Koperal dan bertugas di bahagian perolehan TUDM pula, didakwa atas kesalahan bersubahat dengan Citra Angrini bagi pertuduhan serupa.
Pasangan Citra Angrini dan Shahrul Nizam didakwa melakukan kesalahan terbabit di sebuah premis di Kota Damansara, manakala Mohamad Amir di MPOU Subang, pada 13 Mei.
Kesemua mereka didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan, manakala pertuduhan terhadap Shahrul Nizam dan Mohamad Amir turut dibacakan mengikuti Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan kesemua mereka berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.
Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) Alis Izzati Azurin Mohd Rusdi, manakala pasangan suami isteri tersebut diwakili peguam Muhammad Nazreen Jaafar Abdullah. Mohamad Amir tidak diwakili peguam.
Alis Izzati mencadangkan jaminan sebanyak RM20,000 bersama seorang penjamin bagi setiap tertuduh dan dikenakan syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah, melaporkan diri sebulan sekali di pejabat SPRM serta tidak mengganggu saksi pendakwaan.
Muhammad Nazreen bagaimanapun memohon jaminan serendah RM5,000 bagi anak guamnya, manakala Mohamad Amir merayu jaminan dikurangkan kepada RM3,000 kerana menanggung isteri dan seorang anak.
Datuk Mohd Nasir Nordin kemudiannya membenarkan jaminan sebanyak RM8,000 kepada Citra Angrini, serta RM7,000 masing-masing kepada Shahrul Nizam dan Mohamad Amir dengan seorang penjamin setiap seorang.
Mahkamah turut membenarkan syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan dan menetapkan 8 Dis ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial