Lelaki Maut Kereta Dipandu Bertembung Bas

16/11/2025 06:30 PM

MELAKA, 16 Nov (Bernama) -- Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah bas di Jalan Pantai Belimbing, Krubong di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata kejadian berlaku pada 7.35 pagi apabila kereta Toyota GR86 dipandu mangsa berusia 26 tahun dipercayai telah hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar bahagian hadapan bas yang datang dari arah Krubong Perdana menuju ke Melaka Sentral.

"Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di kepala dan dihantar ke Unit Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Christopher berkata pemandu bas berusia 34 tahun itu pula menerima rawatan di Hospital Melaka akibat kecederaan di kaki dan tangan kiri.

Beliau berkata rakaman kamera papan pemuka daripada bas telah diperoleh dan pihaknya sedang mengesan saksi bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Cheng Mohd Norsyah Salleh berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 7.40 pagi dan sebaik tiba, seorang lelaki berusia 26 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan manakala seorang lagi lelaki tersepit di bahagian pemandu bas.

“Kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan pasukan bomba sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 9.57 pagi,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan