ALOR SETAR, 15 Nov (Bernama) -- Satu lagi mayat mangsa bot karam di perairan Langkawi ditemukan hari ini menjadikan jumlah yang maut meningkat kepada 29 orang manakala 14 lagi selamat.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kedah dan Perlis Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa berkata pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung penemuan mayat lelaki terdampar di Pulau Singa Besar.
“Susulan laporan itu, bot Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia telah diatur gerak ke lokasi untuk mengambil mayat berkenaan dan dibawa ke jeti APMM sebelum diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat yang memasuki hari ketujuh hari ini telah disambung semula pada 7.30 pagi tadi meliputi sektor pencarian seluas 33.86 batu nautika persegi dengan pengoperasian empat aset.
Aset terlibat, katanya adalah daripada APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Pasukan Polis Marin (PPM) bagi mengoptimumkan penggunaan sumber manakala aset agensi lain pula berada dalam keadaan siap siaga bagi membantu apabila diperlukan.
“APMM bersama semua agensi penyelamat terus komited melaksanakan operasi itu sehingga keseluruhan kawasan pencarian diterokai sepenuhnya.
“Sepanjang pencarian enam hari sebelum ini, keluasan sektor pencarian adalah 1,355.15 batu nautika persegi,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial