PUTRAJAYA, 13 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman tujuh pegawai agensi penguat kuasa, kerana disyaki terlibat rasuah bagi mempercepat proses permohonan program pemutihan pendatang asing menerusi Program Rekalibrasi Tenaga Kerja (RTK).
Perintah reman selama tiga hari sehingga 15 Nov itu dikeluarkan Majistret Izra Zulaikha Rohanuddin, selepas permohonan dibuat SPRM di Mahkamah Majistret Putrajaya hari ini.
Menurut sumber kesemua suspek melibatkan empat lelaki dan tiga wanita berusia lingkungan 30 hingga 50-an, ditahan dibeberapa lokasi sekitar Lembah Klang menerusi Ops Bleach yang dijalankan Bahagian Periskan SPRM semalam.
“Kesemua suspek dipercayai menerima rasuah sebagai balasan bagi mempercepat permohonan pendatang asing yang berada di negara ini sebagai pekerja asing sah menerusi program RTK.
“Ops Bleach ini adalah operasi susulan yang dijalankan SPRM berkait sindiket Counter Setting menerusi Ops Rentas dan Ops Dygo yang dijalankan baru-baru ini,” kata sumber itu.
Susulan penahanan itu, SPRM turut menyita wang tunai lebih RM116,000, 14 unit peranti telekomunikasi, barang kemas serta kepingan emas, tiga unit kereta serta dua unit motosikal.
Semalam, SPRM dilapor menahan 11 individu bagaimanapun empat daripadanya telah dilepaskan dengan jaminan SPRM.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan penahanan reman tersebut dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 17 Akta SPRM 2009.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial