Pembantu Rumah Direman Tujuh Hari Bantu Siasatan Cederakan Dua Beranak

12/11/2025 07:12 PM

KUANTAN, 12 Nov (Bernama) -- Seorang wanita warga asing yang ditahan kerana disyaki mencederakan dua beranak menggunakan pisau di KotaSAS di sini direman tujuh hari bermula hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Supt Mohd Adli Mat Daud berkata perintah reman itu dikeluarkan Majistret Wahidah Zainal Abidin di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini, selepas membenarkan permohonan polis bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadap suspek.

Beliau berkata warga asing itu yang bekerja sebagai pembantu rumah masih dirawat di HTAA dan perlu menjalani pembedahan berikutan kecederaan di tangan kiri akibat luka yang dalam.

“Mangsa wanita berusia 57 tahun pula berada dalam keadaan stabil dan telah dibenarkan keluar selepas menerima rawatan di wad Zon Kuning HTAA semalam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Adli berkata anak lelaki mangsa yang berusia 28 tahun kini dirawat di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur akibat cedera putus ibu jari tangan kiri, luka di kepala dan kaki.

Semalam, Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Ashari Abu Samah memaklumkan dua beranak cedera selepas bergelut dengan pembantu rumah yang bersenjatakan pisau di kediaman mereka di KotaSAS pada Selasa. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan