BUKIT MERTAJAM, 12 Nov (Bernama) -- Tindakan seorang lelaki menyeleweng minyak masak bersubsidi di sebuah gudang terpencil terbongkar selepas diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menerusi Ops Tiris 3.0 di kawasan perindustrian Sungai Jawi, Nibong Tebal, semalam.
Pengarah KPDN negeri S. Jegan berkata serbuan bermula pada 8.30 malam itu dilakukan oleh lima pegawai penguat kuasa hasil risikan selama sebulan susulan aduan orang awam.
“Hasil pemeriksaan menemukan 5,720 kilogram (kg) minyak masak peket 1kg, 25 botol kosong minyak masak berkapasiti 5kg, dan sejumlah plastik kosong pelbagai jenama minyak masak peket 1kg.
"Turut ditemui dua unit tong biru yang disyaki berisi cecair minyak berkapasiti 150 liter (L) dipercayai digunakan untuk menyimpan minyak yang dipindahkan daripada bungkusan asal.
“Modus operandi suspek ialah memotong minyak masak dalam bungkusan polibeg 1kg dan memindahkannya ke dalam tong biru 150L menggunakan peralatan khas," katanya pada sidang media di Kompleks Penyimpanan KPDN Pulau Pinang Bukit Minyak di sini, hari ini.
Jegan berkata kegiatan itu dipercayai dilakukan bagi mengubah bentuk asal barang kawalan berkenaan sebelum dijual semula secara tidak sah atau disimpan tanpa kebenaran.
Beliau berkata, siasatan mendapati kegiatan tersebut dilakukan secara bersendirian oleh seorang lelaki tempatan berusia lingkungan 40-an yang ditahan ketika sedang memindahkan minyak.
Menurutnya, peralatan pemindahan seperti satu unit pam, sembilan gunting serta beberapa dokumen berkaitan turut disita untuk siasatan lanjut dengan nilai rampasan keseluruhan dianggarkan RM16,892.
“Siasatan mendapati gudang itu beroperasi sejak tiga bulan lalu tanpa lesen atau permit sah untuk memiliki dan mengurus barang kawalan berjadual seperti diwajibkan undang-undang,” katanya.
Beliau menambah, pihaknya masih menyiasat sumber bekalan minyak masak yang diperoleh suspek, namun tidak menolak kemungkinan ia dibeli dari sekitar negeri ini dan Perak berdasarkan jenama pada peket minyak tersebut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana memiliki barang kawalan dengan niat melakukan kesalahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial