GEORGE TOWN, 11 Nov (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDN) Pulau Pinang menyita pelbagai barangan bernilai lebih RM3.06 juta hasil operasi penguatkusaan yang dijalankan di seluruh negeri itu sejak awal tahun hingga semalam.
Pengarahnya S Jegan berkata tindakan itu diambil susulan pemeriksaan ke atas 67,564 premis yang membawa kepada 804 kes pelbagai kesalahan direkodkan sepanjang tempoh tersebut.
Beliau berkata kompaun sebanyak RM461,800 turut dikeluarkan dalam tempoh berkenaan, bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang perdagangan dan perlindungan pengguna di negeri itu.
"Kesalahan berkaitan harga barangan termasuk tidak mempamerkan harga dan menjual pada harga melebihi yang ditetapkan, merupakan kesalahan paling tinggi diambil tindakan sepanjang tempoh tersebut.
"KPDN Pulau Pinang turut menerima 2,288 aduan daripada orang awam dan daripada jumlah itu, sebanyak 1,016 melibatkan isu harga barangan dan perkhidmatan, 191 berkaitan bekalan barang kawalan manakala selebihnya 1,081 merupakan lain-lain aduan,'' katanya kepada pemberita selepas pelancaran Program Pasar Patuh (3P) di Pasar Awam Chowrasta di sini hari ini.
Beliau berkata antara rakan strategik utama program 3P ialah pihak berkuasa tempatan (PBT), Kementerian Kesihatan (KKM), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) serta syarikat yang dilantik dalam penentusahan alat timbang sukat (SDL).
Menurut Jegan, 3P diwujudkan bagi memperkukuh pematuhan dalam kalangan peniaga pasar awam iaitu memberi penekanan berkaitan penandaan harga yang jelas, penggunaan alat timbang tepat dan persekitaran perniagaan bersih dan teratur.
Beliau berkata pelaksanaan perintis pasar patuh ini dimulakan di Pasar Awam Chowrasta sebelum diperluaskan secara berperingkat di seluruh negeri menjelang tahun depan.
"Pelaksanaan 3P di Pasar Awam Chowrasta melibatkan 60 peniaga, iaitu 33 peniaga zon pasar basah, 20 peniaga zon separa kering, peniaga zon barangan kering (enam) dan dua peniaga zon barangan tidak halal,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial