Cubaan Larikan Diri Gagal, Pemandu Bas Kilang Ditahan

07/11/2025 12:57 PM

BUTTERWORTH, 7 Nov (Bernama) -- Seorang pemandu bas kilang yang memecut kenderaannya sejauh lima kilometer ketika cuba melarikan diri berjaya ditahan anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam Ops Khas Bas Pekerja di Bayan Lepas awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang Zulkifly Ismail berkata anggotanya berjaya menahan pemandu itu di kawasan Batu Maung.

“Ketika kejadian lelaki berusia 39 tahun itu baru sahaja menurunkan pekerja dan dipercayai dalam perjalanan pulang ke depoh.

“Hasil pemeriksaan mendapati pemandu berkenaan tidak mempunyai lesen kenderaan pengangkutan (PSV), selain bas itu juga tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat JPJ Pulau Pinang di Seberang Jaya di sini hari ini.

Beliau berkata semakan turut mendapati pemandu berkenaan mempunyai 10 saman yang belum selesai melibatkan kesalahan sama, iaitu tiada lesen PSV, insurans dan LKM.

Operasi yang dijalankan bermula 5 pagi itu turut mengesan beberapa pengusaha yang menggajikan warga asing sebagai pemandu kenderaan pekerja dan ini satu kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Awam Darat (APAD) 2010.

 Zulkifly berkata dalam operasi itu, sebanyak 215 bas diperiksa dengan 26 bas pekerja diambil tindakan, 81 dikenakan saman manakala 20 bas turut disita.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan