Ops Khas Gempur Perdagangan: JPJ P. Pinang Keluar 2,946 Notis Saman, Sita 26 Kenderaan

06/10/2025 12:04 PM

BUKIT MERTAJAM, 6 Okt (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengeluarkan 2,946 notis saman atas pelbagai kesalahan dan menyita 26 kenderaan perdagangan dalam Ops Khas Gempur Kenderaan Perdagangan di negeri itu sepanjang bulan lepas.

Pengarahnya Zulkifly Ismail berkata dalam operasi bermula 1 hingga 31 Sept itu, pihaknya telah memeriksa 19,191 kenderaan perdagangan dan 1,616 daripadanya diambil tindakan kerana pelbagai kesalahan.

"Antara kesalahan paling tinggi direkodkan ialah tiada Lesen Vokasional (GDL/PSV) iaitu sebanyak 398 notis saman, membawa muatan melebihi had dibenarkan  (277), lesen memandu tamat tempoh atau tiada lesen (232), lesen kenderaan motor tamat tempoh (227) dan tiada perlindungan insurans (85). 

"JPJ Pulau Pinang turut mengesan tiga kenderaan perdagangan iaitu tipper dumper, lori kontena dan de- controlled yang melibatkan warga Bangladesh, Myanmar dan Pakistan memandu kenderaan perkhidmatan barangan itu. Kami sita kenderaan serta saman kerana warga asing tidak dibenarkan bekerja sebagai pemandu kenderaan perdagangan," katanya kepada pemberita selepas Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan di Plaza Tol Juru arah utara di sini malam tadi.

Beliau berkata pemerikaan ke atas tiga lelaki warga asing berusia 20-an itu mendapati mereka mempunyai dokumen perjalanan diri yang sah dan permit kerja dalam sektor lain, namun bekerja sebagai pemandu kenderaan perdagangan kerana dipercayai mudah mendapat pekerjaan tersebut.

Zulkifly berkata pemeriksaan juga mendapati majikan atau syarikat mengambil warga asing untuk bekerja sebagai pemandu kenderaan perdagangan kerana gaji yang diberikan lebih rendah berbanding pekerja tempatan.

Beliau berkata operasi itu akan diteruskan hingga 31 Dis bagi memastikan pengusaha dan pemandu kenderaan perdagangan mematuhi undang-undang serta peraturan lalu lintas yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (Akta 715) dan kaedah-kaedah di bawahnya.

Sementara itu, beliau memaklumkan sejak 1 Okt hingga semalam, pihaknya telah memeriksa 165 kenderaan perdagangan bagi penguatkuasaan Peranti Had Kelajuan (SLD) secara berperingkat termasuk bas persiaran dan ekspres.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 31 kenderaan perdagangan yang mempunyai slip SLD semasa diperiksa dan 91 kenderaan perdagangan diambil tindakan serta diberikan Notis 114 Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk tindakan selanjutnya.

"Kita tengok dari segi pematuhan adalah positif dan kita menyeru kepada semua pengusaha kenderaan perdagangan agar memastikan pematuhan penuh terhadap pemasangan bertujuan mengurangkan risiko kemalangan maut membabitkan kenderaan berat," katanya.

SLD ialah peranti atau sistem kawalan kelajuan yang direka untuk mengehadkan kelajuan maksimum sesebuah kenderaan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan