Murid Lelaki 11 Tahun Disyaki Hilang Dari Sekolah Ditemukan Selamat

04/11/2025 11:52 PM

ALOR SETAR, 4 Nov (Bernama) -- Seorang murid lelaki berusia 11 tahun disyaki hilang dari sekolahnya di Sintok hari ini ditemukan dalam keadaan selamat.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Mohd Radzi Abdul Rahim berkata murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Bandar Baru Sintok itu ditemukan di kawasan pinggir ladang kelapa sawit kira-kira 2.5 kilometer dari sekolah berkenaan.

“Guru Besar sekolah itu menerima maklumat daripada penduduk perumahan di sekitar kawasan berkenaan, yang memaklumkan melihat murid itu berada di pinggir ladang kelapa sawit.

“Guru Besar bersama pengawal keselamatan pergi menjemput murid itu pada 7.45 malam dan membawanya pulang ke sekolah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.

Beliau berkata semasa ditemukan oleh Guru Besar, murid itu berada dalam keadaan terpinga-pinga dan tidak sedar dengan apa yang telah berlaku sebelum diberikan rawatan Islam terlebih dahulu.

“Murid itu ditemukan dalam keadaan berselut dan tidak berkasut tetapi tidak mengalami sebarang kecederaan. Dia dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam, bagaimanapun buat masa ini masih belum dapat memberikan sebarang keterangan mengenai apa yang berlaku,” katanya.

-- BERNAMA


 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan