Mayat Reput Ditemukan Bawah Pelepah Kelapa Sawit

04/11/2025 07:45 PM

KUANTAN, 4 Nov (Bernama) -- Mayat wanita dalam keadaan reput ditemukan di bawah longgokan pelepah kelapa sawit di sebuah kebun kelapa sawit di Batu 19, Jalan Karak-Kuala Pilah, Telemong, semalam.

Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata pihaknya menerima panggilan daripada orang awam mengenai penemuan itu kira-kira 5 petang.

“Hasil pemeriksaan awal di lokasi mendapati mayat berkenaan ialah seorang wanita, namun identiti mangsa belum dapat dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata sepasukan anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Bentong bersama pasukan forensik, Unit Anjing Pengesan dan Jabatan Siasatan Jenayah Kontinjen Pahang telah dikerahkan ke lokasi bagi menjalankan siasatan lanjut.

“Beberapa barangan dipercayai milik wanita itu turut ditemukan berhampiran lokasi, antaranya sehelai seluar sukan berwarna hijau, seutas jam tangan jenama Casio, sepasang selipar hitam serta baju hud berwarna hitam,” katanya. 

Yahaya berkata mayat dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan di sini untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut sementara menunggu laporan bedah siasat.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan