KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Polis telah menyiapkan kertas siasatan berhubung dakwaan pemerasan serta cabul melibatkan tiga anggotanya terhadap seorang pelajar wanita dan dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya (TPR) hari ini, untuk tindakan lanjut.
Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Fadil Marsus berkata ketika ini, tiga anggota tersebut masih bertugas, namun akan digantung tugas serta-merta jika TPR mengarahkan pertuduhan dibuat.
“Tiga anggota itu tidak terlibat sebarang tugasan di lapangan. Mereka kini melaksanakan tugas sementara secara dalaman sehingga menunggu arahan lanjut pihak TPR.
“Polis tidak akan berkompromi dengan pegawai atau anggota yang melanggar undang-undang atau mencemarkan imej pasukan.
“Tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan dan arahan pihak pendakwaan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Fadil berkata suspek pertama dicadang dituduh di bawah Seksyen 354 Kanun Keseksaan manakala suspek kedua dan ketiga pula Seksyen 384 kanun sama kerana pemerasan.
Pada masa sama, beliau berkata siasatan tatatertib terhadap tiga anggota itu dijalankan serentak oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.
Sebelum ini, seorang pelajar wanita mendakwa diperas RM10,000 dan dicabul oleh seorang daripada anggota itu, selepas ditahan bersama-sama teman lelakinya di Jalan Sentul Pasar di sini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial