Kastam Rampas Dadah Lebih 40kg Bernilai RM6.65 Juta

23/10/2025 03:26 PM

PUTRAJAYA, 23 Okt (Bernama) -- Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menumpaskan cubaan sindiket pengedaran dadah melibatkan rampasan seberat 40.8 kilogram (kg) dengan anggaran nilai RM6.65 juta dalam tiga operasi berasingan di Selangor dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada bulan lepas.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Siti Mang berkata kejayaan itu hasil risikan dan tindakan pantas pasukan Cawangan Narkotik, Bahagian Penguatkuasaan Ibu Pejabat JKDM.

Beliau berkata operasi pada 12 Sept melibatkan pemeriksaan ke atas sebuah kontena didaftarkan mengandungi alat pemeriksaan tekanan darah yang dalam proses pemindahan ke Australia di Pelabuhan Klang, Selangor susulan maklumat Direktorat Jeneral Kawalan Narkotik, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi.

“Pemeriksaan menggunakan anjing pengesan menemukan beg hitam berisi 25 bungkusan plastik lutsinar mengandungi serbuk putih mampat dalam bentuk blok disyaki kokain dengan anggaran berat kasar 25,740 gram (g) bernilai RM5.15 juta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siti berkata sindiket berkenaan dipercayai menggunakan modus operandi mencampurkan dadah bersama barangan sah untuk mengaburi pihak berkuasa.

Operasi pada 11 Sept melibatkan penemuan dadah disyaki jenis 3,4- Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) anggaran berat kasar 367g bernilai RM61,289 dan dua senjata api, kelopak peluru serta peluru hidup dalam kereta Toyota Camry yang ditinggalkan di kawasan perumahan di Banting, Selangor.

Siti berkata operasi pada 3 Sept di gudang syarikat kurier di Zon Perdagangan Bebas KLIA menemukan 14.7 kg ganja bernilai RM1.44 juta disembunyikan dalam tiga kotak bungkusan yang diikrarkan sebagai kacang kopi hijau.

Kesemua kes disiasat mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup serta tidak kurang daripada 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Dalam perkembangan lain, Siti berkata Unit Siasatan Frod Perdagangan, Cawangan Siasatan Ibu Pejabat JKDM dengan bantuan Pasukan Tempur Operasi Medan Kastam (COBRA) menumpaskan sindiket pemprosesan minuman keras secara haram di kawasan perindustrian Rawang, Selangor pada 15 Okt.

Beliau berkata pemeriksaan di gudang itu menemukan 8,869.4 liter minuman keras pelbagai jenama bernilai RM418,000 serta pelbagai alatan pemprosesan seperti tong berisi etanol, setem cukai disyaki palsu, mesin pelekat label dan kotak bungkusan minuman keras.

Aktiviti pemprosesan itu dipercayai dijalankan di premis tidak berlesen di bawah Akta Eksais 1976 melibatkan duti eksais dan cukai berjumlah lebih RM1.1 juta. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 74 akta sama yang memperuntukkan hukuman denda antara 10 hingga 20 kali ganda nilai duti eksais atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan