Polis Kelantan Buka 25 Kertas Siasatan Kes Buli Di Sekolah

22/10/2025 03:02 PM

KOTA BHARU, 22 Okt (Bernama) -- Polis Kelantan membuka 25 kertas siasatan melibatkan kesalahan buli di sekolah bagi tempoh sembilan bulan pertama tahun ini, kata Ketua Polis negeri Datuk Mohd Yusoff Mamat.

Beliau berkata enam kes itu dilaporkan berlaku di Kota Bharu, Pasir Mas (lima), Machang dan Bachok masing-masing empat, Tumpat (tiga), Kuala Krai (dua) serta Tanah Merah (satu). 

Beliau berkata buli merupakan kesalahan jenayah yang boleh disiasat mengikut Seksyen 507B hingga Seksyen 507G Kanun Keseksaan (Akta 574) telah dikuatkuasakan pada 11 Julai 2025. 

“Ini membuktikan buli bukan kesalahan boleh dipandang ringan. Jangan biarkan status pelajar terpalit sebagai pesalah hanya kerana tindakan kononnya sekadar gurauan. Budaya membuli mesti dihentikan kerana ia bukan sekadar kesalahan disiplin tetapi penyakit sosial yang membunuh nilai empati dan kasih sesama insan.

“Hari ini, buli bukan hanya berlaku di sekolah tetapi juga media sosial seperti WhatsApp, Telegram, TikTok dan sebagainya,” katanya pada Program Citra Remaja Unggul di Sekolah Menengah Kebangsaan Ismail Petra di sini hari ini. 

Selain itu, Mohd Yusoff berkata 349 kertas siasatan dibuka di bawah kesalahan jenayah seksual untuk sembilan bulan pertama tahun ini, meningkat daripada 257 kes direkodkan bagi tempoh sama pada tahun lepas. 

Kesalahan jenayah seksual itu membabitkan kesalahan rogol, cabul kehormatan, liwat atau luar tabii, isyarat lucah, mengedar gambar lucah, kesalahan seksual terhadap kanak-kanak dan mengintip.

“Jenayah seksual ini serius terutamanya bagi kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang merekodkan jumlah tertinggi iaitu 133 kes diikuti rogol dengan 132 kes,” katanya. 

Dalam perkembangan lain, Mohd Yusoff berkata pihaknya mengesan perbuatan tokan dadah di Kelantan mempamerkan kemewahan di media sosial dipercayai untuk menjerat ramaja menjadi pengedar dadah secara kecil-kecilan. 

 Beliau berkata individu terbabit mempamerkan kediaman atau kereta mewah menyebabkan remaja terpengaruh dengan kehidupan sedemikian. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan