KUALA LUMPUR, 22 Okt (Bernama) -- Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan darjah Panglima Gagah Pasukan Polis (PGPP) kepada Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Abdul Aziz Abdul Majid.
Abdul Aziz mendahului senarai 109 penerima pingat termasuk tiga pegawai kanan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kepahlawanan Pasukan Polis (DKPP) Tahun 2025 yang berlangsung di Balairung Seri Istana Negara di sini.
Seri Paduka Baginda turut mengurniakan PGPP kepada Pengarah Jabatan Logistik dan Teknologi Bukit Aman CP Gilberd Philip Layang, Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad dan Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail.
Pada istiadat itu, Sultan Ibrahim juga berkenan mengurniakan Darjah Panglima Setia Pasukan Polis kepada lima penerima, Pahlawan Pasukan Polis (16 penerima), Kesatria Pasukan Polis (enam penerima) dan Bentara Pasukan Polis (78 penerima).
Penganugerahan DKPP diberikan kepada pegawai dan anggota lain-lain pangkat yang berkelayakan atas jasa dan pengorbanan yang dicurahkan dalam perkhidmatan PDRM.
Hadir sama pada istiadat itu, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial