SHAH ALAM, 20 Okt (Bernama) -- Jasad pelajar perempuan yang maut akibat ditikam di sebuah sekolah di Petaling Jaya minggu lepas, selamat disemadikan menerusi upacara pembakaran di Nirvana Memorial Park Seksyen 21 di sini hari ini.
Terdahulu, jasad mendiang yang dibawa dengan kenderaan daripada Nirvana Centre KL (NCKL) tiba di taman memorial itu pada kira-kira 12.20 tengah hari.
Suasana hiba menyelubungi upacara selama lebih kurang 20 minit itu yang dihadiri kira-kira 100 orang terdiri daripada ahli keluarga dan rakan-rakan bagi memberikan penghormatan terakhir.
Mendiang meninggalkan ayah, ibu dan seorang kakak berusia 19 tahun.
Dalam kejadian 14 Okt lepas, media melaporkan seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun maut selepas ditikam di bahagian dada dan leher di sekolahnya di Petaling Jaya.
Mangsa dilaporkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suspek seorang pelajar lelaki berusia 14 tahun dari sekolah sama, telah direman untuk siasatan lanjut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial