Tanpa Persetujuan Awal, Dua Lot Tanah Kerajaan Pulau Pinang Tidak Terlepas - Pegawai Penyiasat

15/10/2025 09:51 PM

KUALA LUMPUR, 15 Okt (Bernama) -- Mahkamah Sesyen di sini hari ini diberitahu dua lot tanah di Bandar Tanjung Pinang, Pulau Pinang tidak akan terlepas secara salah sehingga menyebabkan kerajaan negeri itu mengalami kerugian sekiranya tiada persetujuan awal antara Lim Guan Eng dengan dua ahli perniagaan.

Penguasa Kanan Bahagian Siasatan Cawangan Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Zulhilmi Ramli berkata dua ahli perniagaan itu ialah Pengarah Urusan Ewein Zenith Sdn Bhd (EZSB) Datuk Ewe Swee Kheng dan Pengarah Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli.

Zulhilmi berkata berdasarkan siasatannya, Ewe berjumpa dengan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu pada 2011 untuk bertanyakan mengenai tanah kerajaan yang boleh diteroka.

"Tertuduh memaklumkan kepada Ewe bahawa beliau akan mencari satu projek negeri yang cara pembayarannya kepada kontraktor projek adalah melalui pertukaran tanah... apa yang perlu Ewe lakukan adalah berurusan dengan kontraktor tersebut untuk menjual tanah pada syarikat Ewe. 

"Inilah yang berlaku dalam kes ini… Lot 702 tersebut sememangnya diperoleh oleh Ewe... berkaitan bayaran jualan tanah Lot 702, siasatan mendapati CZCSB menjual tanah tersebut kepada EZSB dengan harga jualan dipersetujui iaitu RM133 juta," katanya ketika membacakan pernyataan saksi pada perbicaraan kes rasuah Lim membabitkan projek pembinaan jalan-jalan utama dan terowong dasar laut di Pulau Pinang.

Saksi pendakwaan ke-38 itu berkata mengikut perjanjian jual beli, EZSB perlu membayar kepada CZCSB sebanyak 60 peratus (RM79.8 juta) dahulu dan bakinya  (RM53.2 juta) akan dibayar selepas pembangunan City of Dream (COD) di atas tanah tersebut siap. 

Zulhilmi, yang juga pegawai penyiasat kes itu, berkata jika tiada perjanjian awal antara Ewe, Zarul Ahmad dan Lim, maka lot tanah 702 dan 713 tidak akan terlepas secara salah kepada Ewe, dan Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan mengalami kerugian.

"Lebih memelikkan, Ewe berani membuat bayaran seawal November 2013 kepada syarikat Zarul Ahmad walhal tiada sebarang kepastian syarikat Zarul Ahmad akan mendapat lot tanah 702," katanya.

Selain itu, beliau berkata pada 6 Okt 2013, perjanjian awal untuk projek pembinaan tiga jalan utama dan terowong Pulau Pinang ditandatangani antara kerajaan negeri yang diwakili Lim dengan Zarul Ahmad, yang juga Pengerusi Consortium Zenith Bejing Urban Construction Group Sdn Bhd (CZBUCG).

"CZBUCG juga membuat perjanjian lantikan sebuah syarikat bagi menjalankan projek kajian dan seterusnya pembinaan tiga jalan utama dan terowong Pulau Pinang ini... dalam perjanjian awal, projek dimulakan dengan kajian kebolehlaksanaan bernilai RM305.88 juta dan sebagai bayaran, sebahagian daripada dua lot tanah iaitu Lot 702 atau 713, Bandar Tanjung Pinang ditawarkan.

"Saya juga mengambil kira pihak BUCG daripada awal lagi menjangkakan kesukaran akan dihadapi berhubung kajian pembinaan terowong dasar laut untuk projek link ketiga sebagaimana mesyuarat pada 10 Mei 2011," katanya.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 64, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang ketika itu menggunakan kedudukan beliau untuk menerima RM3.3 juta dengan membantu syarikat milik Zarul Ahmad dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang bernilai RM6,341,383,702 antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Ahli Parlimen Bagan itu didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul Ahmad sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City di sini antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi pada Mac 2011.

Beliau turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar pada 17 Feb 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan kes di hadapan Hakim Azura Alwi bersambung 29 Okt ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan