Mahkamah Persekutuan Tangguh Keputusan Semakan Banduan Berhubung Kesahan Hukuman Sebat

15/10/2025 07:34 PM

PUTRAJAYA, 15 Okt (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan hari ini menangguhkan keputusan permohonan semakan oleh tiga orang banduan untuk mengenepikan hukuman sebat yang dikenakan ke atas mereka atas alasan boleh menyebabkan risiko kematian.

Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh yang mengetuai panel tiga hakim berkata pihak terlibat akan dimaklumkan mengenai tarikh keputusan yang akan ditetapkan kemudian.

Turut bersidang Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Azizah Nawawi serta Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Lee Swee Seng yang mendengar hujahan daripada pihak pendakwaan, pembelaan serta Majlis Peguam yang hadir sebagai amicus curiae atau sahabat mahkamah.

Pemohon, Mohd Helmi Anuar Mohd Kassim, 45, Kumanaan Anthony Vincent, 40, dan J. Sivachandran, 37, berhujah bahawa hukuman sebat melanggar Perkara 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan, dengan menyatakan risiko kematian susulan kes sebelum ini yang menyaksikan seorang banduan meninggal dunia selepas disebat.

Ketiga-tiga lelaki itu pada asalnya dijatuhi hukuman mati atas kesalahan mengedar dadah atau membunuh, tetapi hukuman mereka diganti kepada penjara 30 tahun dan sebatan di bawah Akta Semakan Hukuman Mati dan Pemenjaraan Sepanjang Hayat (Bidang Kuasa Sementara Mahkamah Persekutuan) 2023 (Akta 847).

Di bawah hukuman yang dipinda, Mohd Helmi dan Kumanaan masing-masing dihukum sebat 24 kali, manakala Sivachandran yang disabitkan kesalahan membunuh, dijatuhi hukuman 12 sebatan selain penjara 30 tahun.

Peguam N. Surendran yang mewakili Mohd Helmi dan Mohd Kassim memohon kepada mahkamah supaya membenarkan permohonan semakan berkenaan kerana maklumat mengenai kematian seorang banduan sebelum ini susulan hukuman sebat hanya diketahui selepas kes mereka disemak semula di bawah Akta 847, dan oleh itu tidak dapat dikemukakan semasa prosiding terdahulu.

Beliau berhujah bahawa hukuman berkenaan melanggar Perkara 5(1) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak untuk hidup, dengan mendakwa ia boleh mengakibatkan kehilangan nyawa tanpa peruntukan undang-undang.

Peguam Rajesh Nagarajan yang mewakili Sivachandran, menerima dan menyokong hujahan yang dikemukakan oleh Surendran.

Timbalan Pendakwa Raya Afzainizam Abdul Aziz mempertahankan hukuman sebat sebagai sah di sisi undang-undang dan mengikut perundangan semasa, dengan menegaskan terdapat langkah-langkah keselamatan perubatan yang ketat bagi mengelakkan kecederaan berlebihan semasa sebatan.

Beliau berkata prosedur berkenaan dilaksanakan dengan berhati-hati di bawah pengawasan perubatan yang berterusan dan akan dihentikan serta-merta jika seorang banduan dianggap tidak layak dari segi perubatan.

Afzainizam juga berkata pemohon gagal mengemukakan sebarang bukti perubatan yang menunjukkan mereka tidak layak untuk menjalani hukuman berkenaan.

Peguam yang mewakili Majlis Peguam, M.M. Athimulan berhujah bahawa hukuman sebatan juga melanggar Perkara 8(2) Perlembagaan Persekutuan yang menjamin kesamarataan, kerana hanya lelaki dikenakan sebatan manakala pesalah wanita dikecualikan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan