Inkues Zara Qairina: Guru Sekolah Tidak Pernah Beri Kuasa Bertindak Kasar- Saksi

14/10/2025 08:49 PM

KOTA KINABALU, 14 Okt (Bernama) -- Seorang saksi kanak-kanak memberitahu Mahkamah Koroner di sini hari ini bahawa guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Tun Datu Mustapha, Papar tidak pernah memberi kuasa kepada pelajar senior untuk bersikap kasar terhadap pelajar junior di sekolah itu.

Peguam Joan Goh, yang mewakili seorang daripada remaja terlibat dalam kes buli pelajar Tingkatan Satu Zara Qairina Mahathir berkata saksi yang merupakan pelajar senior dan ahli kumpulan Circle-19 mendedahkan perkara itu di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan pada hari ke-22 prosiding inkues kematian Zara Qairina, hari ini.

Berkongsi keterangan saksi, Goh berkata saksi kanak-kanak ke-13 itu memaklumkan guru-guru sekolah terbabit juga tidak tahu mereka bersikap kasar kepada pelajar lain, dan menurut saksi mereka hanya mengikuti amalan pelajar senior terdahulu kerana sewaktu menjadi pelajar junior, mereka turut diperlakukan sedemikian.

“Kata saksi, dia dan rakan-rakan senior lain tidak pernah diberikan kebenaran oleh guru untuk menegur, memarahi dan menghakimi pelajar yang berbuat salah,” kata Goh ketika ditemui pemberita selepas prosiding itu.

Goh berkata menurut saksi, mereka tidak pernah memberitahu kepada guru-guru di sekolah itu mengenai kes kecurian yang berlaku di asrama dan mereka juga tidak pernah memberitahu guru-guru mengenai Zara Qairina disyaki melakukan perkara tersebut.

Menceritakan kejadian pada malam 15 Julai lepas, Goh berkata saksi memberitahu dia ada bertanya kepada Zara Qairina mengenai kes kecurian di asrama selepas diminta oleh rakan saksi untuk mereka menyelesaikan isu tersebut, namun lebih kurang 15 hingga 20 minit selepas itu, Zara Qairina hanya mendiamkan diri dan saksi kemudian kembali ke biliknya sendiri kerana tidak boleh berbuat apa-apa.

Peguam itu berkata menurut saksi, dia turut melihat Zara Qairina masuk ke bilik dan saksi tidak lagi bertemu dengan pelajar berkenaan selepas itu dan hanya lebih kurang 3 pagi pada 16 Julai, dia dikejutkan rakannya yang memberitahu ada orang terjatuh di bawah asrama.

“Kata saksi, dia melihat dari tingkat tiga dan nampak Zara Qairina berada di bawah dalam keadaan menelentang serta tidak sedarkan diri,” katanya sambil menjelaskan, saksi turut memaklumkan dia tidak mengetahui apa yang berlaku ketika itu dan hanya pada waktu pagi saksi diberitahu Zara Qairina dipercayai jatuh dari tingkat atas.

Sementara itu, peguam Mohd Syahrulnizam Mohd Salleh yang mewakili ibu Zara Qairina ketika berkongsi keterangan saksi kanak-kanak ke-12 berkata saksi turut mendedahkan bahawa dia pernah dikasari oleh pelajar senior lebih daripada sekali ketika menjadi pelajar junior dan pelajar senior sebelum ini juga memang ada menggunakan perkataan kesat.

"Saksi menceritakan bahawa dia akan sedih selepas dipanggil oleh pelajar senior semasa menjadi pelajar junior dulu. Saksi pernah melaporkan kepada guru dan warden tentang kejadian dikasari pelajar senior tetapi saksi tidak ingat sama ada pihak sekolah ada membuat tindakan selepas saksi membuat laporan," katanya.

Mohd Syahrulnizam berkata saksi memaklumkan guru-guru di sekolah itu tahu mengenai maksud istilah MA iaitu Mesyuarat Asrama dan MB - Mesyuarat Bilik, selain saksi turut menjelaskan MA merujuk kepada perjumpaan beramai-ramai antara pelajar senior dan pelajar junior, manakala MB pula melibatkan penghuni asrama yang tinggal sebilik.

"Saksi berkata semasa dia menjadi pelajar junior juga pernah mengalami MA," katanya sambil menjelaskan saksi tidak pasti sama ada pelajar senior ada melakukan MA terhadap pelajar senior lain, tetapi menurut saksi biasanya pelajar senior akan melakukan MA kepada pelajar junior.

Berkongsi keterangan saksi sama, peguam Azhier Farhan Arisin yang mewakili empat kanak-kanak dalam kes buli Zara Qairina berkata saksi tersebut mendedahkan pelajar senior yang berjumpa dengan Zara Qairina untuk bertanya mengenai kes kecurian di asrama pada malam 15 Julai lepas tidak menengking, bersikap kasar atau mengeluarkan kata-kata kesat terhadap remaja itu.

Azhier Farhan berkata saksi yang merupakan pelajar senior dan juga ahli kumpulan Circle-19 itu memberitahu bahawa dia dan beberapa rakan lain bertanya dengan nada suara biasa sahaja, tetapi saksi diberitahu ada seorang pelajar senior yang telah menengking Zara Qairina.

Zara Qairina, 13, disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, di sini pada 17 Julai selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada 4 pagi 16 Julai.

Prosiding inkues bersambung esok.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan