KUALA LUMPUR, 10 Okt (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menugaskan kira-kira 9,500 pegawai dan anggota bagi memastikan keselamatan dan kelancaran Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat.
Ketua Polis Negara Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata jumlah kekuatan itu melibatkan penugasan di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang bakal dipertandingkan.
“PDRM bertanggungjawab menjaga keselamatan lebih 3,500 saluran mengundi serta menjamin keselamatan para pengundi sepanjang proses pilihan raya berlangsung,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Istiadat Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan Inspektor Percubaan di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) di sini hari ini.
Beliau berkata pihaknya masih menunggu pengumuman rasmi Suruhanjaya Pilihan Raya mengenai tarikh PRN Sabah.
Mengulas keperluan penugasan di Sabah, Mohd Khalid berkata faktor keluasan dan bentuk muka bumi negeri itu menuntut keperluan logistik khas termasuk penggunaan helikopter untuk mobilisasi pasukan.
“Penempatan pegawai adalah sangat kritikal, dan Bukit Aman akan memberikan bantuan sewajarnya. Setakat ini, Polis Sabah telah memohon antara 1,000 hingga 1,500 tambahan pegawai dan anggota untuk digerakkan,” katanya.
Menyentuh mengenai Belanjawan 2026, Mohd Khalid merakamkan penghargaan kepada kerajaan atas komitmen terhadap kebajikan rakyat termasuk warga pasukan keselamatan.
“Pasukan polis sebagai kakitangan awam menerima banyak manfaat khususnya dalam aspek penambahbaikan tangga gaji, teknologi, logistik, perumahan anggota dan keperluan penugasan yang lain.
“Menjadi harapan kami agar kerajaan terus memberikan perhatian terhadap keperluan mempertingkat keupayaan pasukan termasuk membekalkan peralatan canggih yang selari dengan tuntutan semasa,” katanya.
Terdahulu, istiadat tamat latihan itu menyaksikan seramai 345 Inspektor Percubaan dirai selepas berjaya menamatkan Program Latihan Asas Kepolisan selama sembilan bulan di PULAPOL Kuala Lumpur.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial