Kematian Murid Tahun Empat: Kertas Siasatan Dirujuk Ke AGC

14/10/2025 06:36 PM

SEREMBAN, 14 Okt (Bernama) -- Polis telah melengkapkan siasatan kes kematian murid lelaki tahun empat yang ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah tandas sekolah di Senawang, di sini, 1 Okt lepas.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata kertas siasatan juga dirujuk ke Jabatan Peguam Negara bagi tindakan lanjut.

Beliau berkata pihaknya telah menjalankan siasatan menyeluruh melibatkan pelbagai elemen termasuk Unit Sains Tingkah Laku (D11) dan Unit Siasatan Forensik (D10) dari Ibu Pejabat Polis Bukit Aman.

“Hala tuju siasatan selain daripada melihat jika ada unsur jenayah dalam siasatan mati mengejut (SDR), ia juga merangkumi aspek kemungkinan berlakunya insiden buli atau sebaliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Alzafny berkata pihaknya juga telah merekodkan keterangan daripada 49 individu bagi melengkapkan siasatan. 

Beliau turut menasihati orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi, menyebarkan maklumat tidak sahih atau mengulas secara tidak bertanggungjawab mengenai kes berkenaan.

Media sebelum ini melaporkan seorang murid lelaki berusia 10 tahun ditemukan tidak sedarkan diri di sebuah sekolah sebelum disahkan meninggal dunia, pada 1 Okt lepas.

Susulan itu, hasil bedah siasat pada 2 Okt mendapati punca kematian adalah disebabkan tekanan pada leher dan tiada sebarang kecederaan lain pada tubuh badan mangsa.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan