ISTANBUL, 17 Okt (Bernama-Anadolu) -- Hamas menggesa pengantara pada Jumaat supaya meneruskan peranan mereka dalam mengawasi pelaksanaan baki syarat perjanjian gencatan senjata dengan Israel, menghargai usaha Mesir, Qatar dan Turkiye yang membantu menjayakan perjanjian damai yang dicapai awal bulan ini, lapor Anadolu Ajansi.
Dalam satu kenyataan, kumpulan itu "menyatakan penghargaan yang mendalam atas usaha ikhlas yang dilakukan oleh pengantara bersaudara di Mesir, Qatar dan Turkiye sepanjang dua tahun lepas untuk mencapai persetujuan bagi menamatkan serangan agresif terhadap rakyat Palestin."
Menurut kenyataan itu lagi, "penganjuran mesyuarat oleh pengantara, merapatkan perbezaan dan ketekunan dalam mengatasi halangan" "akhirnya berjaya menamatkan serangan gila di Gaza."
Hamas menggesa pengantara untuk terus berusaha memantau pelaksanaan baki klausa perjanjian, terutamanya yang berkaitan dengan membenarkan bantuan kemanusiaan yang mencukupi, pembukaan lintasan Rafah di kedua-dua arah dan memulakan pembinaan semula rumah, hospital, sekolah dan infrastruktur awam di enklaf Palestin itu dengan segera.
Pergerakan itu menekankan keperluan untuk "segera" menyelesaikan pembentukan jawatankuasa sokongan komuniti, yang terdiri daripada kumpulan bebas yang dipersetujui secara nasional, agar ia dapat memulakan tugasnya dalam mentadbir Semenanjung Gaza dan memuktamadkan penarikan balik tentera Israel dari kawasan yang dipersetujui.
Ia juga menyeru untuk meneruskan usaha untuk "mendakwa mereka yang bertanggungjawab atas jenayah perang dan membawa mereka ke muka pengadilan, serta meneruskan usaha untuk memboikot dan mengasingkan Israel dan pemimpinnya di arena antarabangsa."
Hamas membebaskan 20 tebusan Israel yang masih hidup dan menyerahkan mayat 10 lagi tawanan sebagai pertukaran untuk hampir 2,000 tahanan Palestin di bawah perjanjian gencatan senjata.
Perjanjian itu dicapai antara Israel dan Hamas minggu lepas, berdasarkan rancangan yang dibentangkan oleh Presiden AS Donald Trump.
Fasa pertama termasuk pembebasan tahanan Israel sebagai pertukaran untuk tahanan Palestin.
Rancangan itu juga membayangkan pembinaan semula Gaza dan penubuhan mekanisme pemerintahan baharu tanpa Hamas.
Sejak Oktober 2023, serangan Israel membunuh hampir 68,000 rakyat Palestin di Gaza, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak dan menyebabkan kawasan itu sebahagian besarnya tidak boleh didiami.
-- BERNAMA-ANADOLU
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial