MUAR, 14 Okt (Bernama) -- Mayat seorang lelaki, pemandu Proton Saga yang terjunam ke Sungai Panchor, Pagoh, petang semalam, berjaya ditemukan dan dikeluarkan oleh pasukan mencari dan menyelamat (SAR) pada 1.01 pagi tadi.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh, Pegawai Bomba Kanan I (PBK I) Nor Alfatah Omar berkata, mangsa Mud Husni Mahmud, 47, ditemukan dalam kereta berwarna hitam itu selepas kenderaan berjaya dinaikkan menggunakan kren.
Beliau berkata kereta dan mayat mangsa berjaya dikeluarkan selepas operasi SAR selama 11 jam, dengan kenderaan ditemukan pada kedalaman kira-kira 15 meter di dasar sungai.
“Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Muar dan BBP Skudai dikerahkan ke lokasi dan melakukan beberapa selaman khas. Pada 10.21 malam, pasukan PPDA mengesan kenderaan itu pada jarak kira-kira 50 meter dari tebing sebelum kerja menaikkan kereta dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut, dan operasi ditamatkan pada 1.38 pagi dengan melibatkan 20 anggota dari BBP Pagoh, BBP Muar dan BBP Skudai, dibantu dua bot fiber serta beberapa jentera sokongan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial