Seorang Mangsa Dikhuatiri Terperangkap Dalam Kereta Terjunam Ke Sungai

13/10/2025 10:46 PM

MUAR, 13 Okt (Bernama) -- Seorang mangsa dikhuatiri terperangkap di dalam sebuah kereta jenis Proton Saga yang terjunam ke dalam Sungai Panchor, di sini hari ini.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pagoh PBK I Nor Alfatah Omar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 2.42 petang sebelum sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di tempat kejadian, pasukan keluaran operasi (PKO) mendapati sebuah kereta berwarna hitam terjunam ke dalam sungai dipercayai akibat kemalangan.

“Maklumat awal daripada saksi memaklumkan terdapat seorang mangsa, dipercayai pemandu, masih berada di dalam kenderaan tersebut. Usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa kini sedang giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nor Alfatah berkata operasi turut dibantu Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) dari BBP Muar manakala identiti mangsa masih belum dikenal pasti.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Muar Supt Muhammad Aidil Roneh Abdullah ketika dihubungi berkata operasi SAR masih dijalankan.

“Setakat ini, kami belum dapat pastikan sama ada mangsa yang terlibat seorang atau pasangan suami isteri,” katanya ringkas.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan