KUCHING, 9 Okt (Bernama) -- Polis menahan seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun, disyaki terlibat dalam kes kematian seorang kanak-kanak perempuan tiga tahun, dalam kejadian di Kampung Rampangi, Santubong, dekat sini, Selasa lepas.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Alexson Naga Chabu berkata laporan berhubung kejadian itu diterima semalam, daripada seorang lelaki tempatan berusia 52 tahun.
“Pengadu menyatakan beliau telah dimaklumkan oleh kawannya bahawa anak perempuannya telah meninggal dunia pada Selasa kira-kira 9.45 malam. Hasil siasatan awal mendapati mangsa dipercayai telah didera sehingga mati.
“Bertindak atas maklumat, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching, telah menahan suspek di kawasan Kampung Krian, Jalan Padawan pada 11 pagi tadi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Alexson berkata semakan turut mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau berkaitan jenayah dadah dan hasil ujian saringan awal air kencing juga menunjukkan suspek positif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh, yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara antara 30 hingga 40 tahun, serta tidak kurang daripada 12 kali sebatan, jika sabit kesalahan.
Alexson turut menasihatkan orang awam agar tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh menjejaskan siasatan.
Beliau turut menggalakkan orang ramai menyalurkan sebarang maklumat berkaitan kejadian dengan menghubungi Pusat Kawalan IPD Kuching menerusi talian 082-24444 atau Pegawai Penyiasat Kanan Jenayah ASP Chris Olsen Ramlee menerusi talian 013-8607572 bagi membantu siasatan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial