KUALA LUMPUR, 9 Okt (Bernama) -- Seorang tukang paip didenda RM8,000 atau penjara lapan bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menganiaya anaknya menggunakan penyangkut baju sehingga menyebabkan mangsa cedera di bibir dan belakang badan, minggu lepas.
Hakim Izralizam Sanusi turut memerintahkan lelaki berusia 42 tahun itu menjalani bon berkelakuan baik dua tahun dengan cagaran RM1,000 serta seorang penjamin, dan melaksanakan khidmat masyarakat selama 36 jam yang perlu diselesaikan dalam tempoh enam bulan.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu ke atas anak perempuannya berusia 11 tahun 10 bulan di sebuah pangsapuri di Taman Metropolitan, Kepong dekat sini pada 2 petang 3 Okt lepas mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Ikhwan Mohd Nasir memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran mengambil kira faktor kepentingan awam melebihi kepentingan tertuduh dan kesan trauma yang dialami mangsa.
"Kecederaan dialami mangsa akibat penganiayaan itu bukan sahaja meninggalkan kesan fizikal tetapi menyebabkan kanak-kanak itu trauma sehingga melarikan diri dari rumah, tertuduh sebagai bapa kandung sepatutnya berperanan melindungi anak perempuannya dan bukan mengasarinya" kata beliau.
Tertuduh, yang hadir ke mahkamah dengan berkerusi roda dan tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan atas alasan dia sudah insaf dan menyesali perbuatannya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial