Mahkamah Tolak Pengakuan Bersalah Wanita Serang Sultan Nazrin Kerana Tidak Waras

08/10/2025 10:06 PM

IPOH, 8 Okt (Bernama) -- Mahkamah Majistret di sini hari ini menolak pengakuan bersalah seorang wanita yang cuba menyerang Sultan Perak Sultan Nazrin Shah ketika sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri pada Ogos lepas.

Majistret Harith Mazlan membuat keputusan itu selepas Timbalan Pendakwa Raya Nasrul Hadi Abdul Ghani memaklumkan laporan daripada Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, Ulu Kinta di sini menyatakan bahawa Nurhaswani Afni Mohamad Zorki, 41, menghidap skizofrenia dan tidak waras semasa kejadian.

“Pada masa ini, tertuduh telah diberi rawatan dan stabil. Tertuduh boleh dibicarakan dan memberikan pembelaan,” kata Nasrul Hadi pada prosiding sebutan semula kes itu.

Nurhaswani Afni didakwa melakukan kekerasan jenayah terhadap Sultan Nazrin di hadapan Dewan Bandaran Ipoh, Jalan Panglima Bukit Gantang Wahab pada 8.20 pagi, 31 Ogos lepas.

Wanita itu didakwa di bawah Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara hingga tiga bulan atau denda maksimum RM1,000 atau kedua-duanya sekali. 

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan dua penjamin serta diarahkan melapor diri di Balai Polis Pusat Ipoh sebulan sekali pada setiap Isnin dan menetapkan 8 Dis ini untuk sebutan semula kes dan lantikan peguam.

Pada 8 Sept lepas, dia dihadapkan ke mahkamah sama, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan kerana tertuduh diperintahkan menjalani pemeriksaan serta pemantauan di Hospital Bahagia selama sebulan mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah. 

Pada Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak Ogos lepas, seorang wanita ditahan kerana menceroboh pentas utama dan cuba menyerang Sultan Nazrin ketika lagu kebesaran negeri berkumandang. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan