KOTA KINABALU, 8 Okt (Bernama) -- Seorang penjawat awam wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 30 pertuduhan rasuah berjumlah lebih RM87,000.
Normila Ladahali, 49, yang membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Jason Juga, berdepan 18 pertuduhan mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 kerana cuba mendapatkan suapan untuk dirinya berjumlah RM55,311.30.
Wang tersebut didakwa dimasukkan ke dalam akaun bank milik dua anaknya sebagai dorongan untuk memberikan kerja-kerja membabitkan Jabatan Perpustakaan Negeri Sabah kepada beberapa syarikat, di cawangan Maybank Mesra Alam di sini, antara November 2022 hingga Oktober 2023.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut nilai yang lebih tinggi, di bawah Seksyen 24 akta sama.
Wanita itu turut didakwa melakukan 12 kesalahan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana cuba mendapatkan benda berharga bernilai RM32,500 daripada dua individu dengan wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun bank milik dua anaknya di cawangan Maybank Mesra Alam di sini, antara April 2022 hingga Jun 2023.
Sabit kesalahan dia boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Normila dibenarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin selain perlu melapor diri ke pejabat SPRM dua bulan sekali, menyerahkan pasport kepada mahkamah serta dilarang mendekati saksi pendakwaan.
Mahkamah menetapkan 27 Nov ini untuk sebutan semula kes.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Dzulkarnain Rousan Hasbi manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial