BUKIT MERTAJAM, 8 Okt (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Pulau Pinang menahan dua lelaki kerana disyaki terlibat aktiviti penyelewengan minyak masak peket bersubsidi dalam serbuan di sebuah stor di sini semalam.
Pengarah KPDN Pulau Pinang S. Jegan berkata operasi pada 3.30 petang itu dijalankan bersama pasukan polis Cawangan Risik Batalion 2 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kulim hasil maklumat dan risikan dengan kedua-dua lelaki tempatan itu merupakan pekerja di stor berkenaan.
“Pemeriksaan mendapati stor itu menjadi lokasi kegiatan penyelewengan minyak masak peket satu kilogram (kg) yang dipindahkan ke dalam tong industri 17 kg menggunakan peralatan khas bagi penjualan semula secara tidak sah atau penyimpanan tanpa kebenaran," katanya dalam kenyataan hari ini.
Jegan berkata pemeriksaan menemukan 4,760 kg minyak masak peket satu kg bersama 510 tong kosong berkapasiti 17 kg dan lima tong kosong berkapasiti 200 liter yang dipercayai digunakan untuk menyimpan minyak yang dipindahkan daripada bungkusan asal.
Beliau berkata pihaknya turut merampas pelbagai peralatan yang digunakan untuk memindahkan minyak masak peket itu yang merupakan barang kawalan berjadual antaranya dua pam besi, satu pam plastik, dua corong plastik dan dua gunting.
Jegan berkata turut ditemukan di stor itu ialah 510 kotak kosong serta sebuah lori dengan nilai sitaan keseluruhan dianggar bernilai RM37,450.
"Siasatan awal mendapati pemilik stor itu beroperasi selama tiga bulan tanpa mengemukakan sebarang lesen atau permit untuk memiliki dan mengurus barang kawalan berjadual," katanya dan memaklumkan usaha mengesan rangkaian sindiket berkenaan sedang giat dijalankan.
Beliau berkata kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122] iaitu memiliki barang kawalan dengan niat untuk melakukan kesalahan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial