Sindiket Cap Palsu Imigresen Sasar Individu Tinggal Lebih Masa - Polis

06/10/2025 09:03 PM

HULU SELANGOR, 6 Okt (Bernama) -- Kebanyakan pelanggan sindiket pemalsuan cap imigresen yang tumpas baru-baru ini, merupakan individu yang tinggal lebih masa dan mahu mendapatkan cap palsu pada pasport untuk tujuan keluar masuk negara atau memperbaharui tempoh lawatan.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata siasatan mendapati sindiket itu beroperasi sejak awal tahun ini dan menggunakan sebuah premis perniagaan sah di Shah Alam, Selangor untuk mengaburi serta menarik pelanggan. 

“Sindiket mengenakan caj RM500 bagi setiap cap palsu. Premis itu milik seorang wanita tempatan, juga ibu mentua seorang pemain bola sepak, disyaki membantu suaminya, seorang lelaki warga asing yang turut ditahan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau memaklumkan kesemua suspek terdiri daripada empat lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan berusia 39 hingga 47 tahun itu masih ditahan reman bagi membantu siasatan.

“Polis telah menghantar dokumen dan cap palsu yang dirampas kepada Jabatan Imigresen untuk pengesahan. Kami juga sedang menyiasat sama ada terdapat pembabitan pihak lain dalam sistem imigresen,” katanya.

Shazeli berkata kegiatan sindiket itu terbongkar hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Komersil Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak yang mendapati cap palsu itu digunakan untuk mengelak tindakan undang-undang terhadap pelanggaran tempoh sah berada di negara ini.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Polis sebelum ini mengesahkan tangkapan lima individu dalam dua serbuan di Gombak dan Shah Alam, serta merampas beberapa dokumen dan peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pemalsuan cap imigresen.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan