Tiga Warga Indonesia Ditahan Gagal Kemuka Pengenalan Diri, Bekerja Atas Vesel Tempatan

04/10/2025 01:35 PM

SHAH ALAM, 4 Okt (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Selangor menahan tiga lelaki warga Indonesia kerana gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan permit kerja atau surat kebenaran daripada Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk berkerja di vesel nelayan tempatan (VNT) Kelas A di perairan negeri itu, tengah malam tadi.

Pengarah Maritim Selangor Kepten Maritim Abdul Muhaimin Muhammad Salleh berkata tangkapan termasuk vesel itu dilakukan pihaknya pada 12.50 tengah malam di kedudukan 3.75 batu nautika barat daya Tanjong Karang ketika rutin operasi APPM.

Beliau berkata ketika rondaan dilakukan, kapal APMM mengesan vesel berkenaan sedang leka melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan itu.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati, vesel berkenaan dikendalikan oleh seorang tekong berumur 33 tahun dan dua awak-awak yang berumur 32 dan 34 tahun. Kesemua mereka adalah warga Indonesia.

“Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua mereka gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah dan permit kerja atau surat kebenaran dari Ketua Pengarah Perikanan Malaysia untuk berkerja di atas bot berkenaan,” katanya menerusi kenyataan.  

Abdul Muhaimin berkata selain itu, vesel tersebut turut melanggar syarat sah lesen dengan menggunakan peralatan selain menangkap ikan yang tidak didaftarkan, dan tidak mempunyai lesen untuk mengambil hasil kerang.

Beliau berkata kesemua mereka ditahan bersama hasil tangkapan yang dianggarkan seberat 200 kilogram sebelum diiring ke Jeti Pasukan Polis Marin, Pulau Indah untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu pemilik tidak mengusahakan sendiri dengan menggajikan warga asing tanpa kebenaran, peralatan mengambil hasil kerang yang tidak didaftarkan dan tidak mempunyai lesen sah untuk mengambil hasil kerang.

“Kes juga disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tekong dan dua kru tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan