Imigresen Kelantan Tahan 18 Pendatang Asing

02/10/2025 06:41 PM

KOTA BHARU, 2 Okt (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kelantan menahan 18 pendatang tanpa izin dalam operasi selama dua hari di sekitar daerah ini dan Tumpat bermula semalam, kata Pengarahnya Mohamed Yusoff Khan Mohd Hassan.

Beliau berkata pemeriksaan menerusi Op Mahir, Op Kutip dan Op Belanja itu membabitkan 15 pegawai yang dijalankan di beberapa lokasi tumpuan warga asing termasuk Wakaf Che Yeh, Kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa, Kampung Kedai Buluh serta sebuah resort di Pulau Suri, Tumpat.

"Tangkapan melibatkan enam lelaki warga Bangladesh, enam lelaki Myanmar, lima lelaki Pakistan dan seorang wanita rakyat Thailand berumur 18 hingga 43 tahun.

“Kesemua mereka ditahan di Depot Imigresen Tanah Merah untuk siasatan lanjut kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) dan Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohamed Yusoff berkata pihaknya akan terus mempergiat operasi penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang mendalangi atau melindungi pendatang.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan