Maritim Kelantan Gagalkan Cubaan Seludup 550,000 Batang Rokok Putih

02/10/2025 03:38 PM

PASIR PUTEH, 2 Okt (Bernama) -- Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kelantan menumpaskan cubaan menyeludup 550,000 batang rokok putih tidak bercukai serta menahan sebuah bot fiber tidak berdaftar yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM400,000 di perairan Kuala Kemasin, Bachok, Selasa lepas.

Pengarahnya Kepten Maritim Erwan Shah Soahdi berkata tangkapan itu hasil maklumat risikan serta rondaan menerusi Op Naga, Op Damai dan Op Tiris di perairan negeri berkenaan kira-kira 3 pagi.

Beliau berkata anggota penguat kuasa berjaya mengesan sebuah bot bergerak dalam keadaan mencurigakan menuju ke arah muara Kuala Kemasin.

“Namun, faktor keadaan gelap menyukarkan pengesanan awal oleh aset maritim yang ketika itu berada lebih kurang satu batu nautika dari lokasi sebelum akhirnya berjaya menahan bot tersebut.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati tiada individu berada di kawasan penemuan, dipercayai suspek melarikan diri sebelum kehadiran pihak berkuasa," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Maritim Kelantan di sini, hari ini.

Erwan Shah berkata pemeriksaan lanjut menemukan 55 bungkusan plastik lut sinar mengandungi rokok putih yang disembunyikan dalam bot fiber berwarna hitam, dipercayai digunakan untuk membawa masuk barangan tidak bercukai ke negara ini secara haram.

Menurutnya, kesemua barang rampasan termasuk bot dibawa ke Pejabat Maritim Negeri Kelantan untuk tindakan lanjut. 

"Kes disiasat di bawah Akta Kastam 1967 kerana membawa masuk barangan tidak bercukai dan Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 kerana memiliki bot tidak berdaftar,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan