LTdL 2025: Tiga Laluan Ditutup Di Johor Sabtu Ini

01/10/2025 09:05 PM

JOHOR BAHRU, 1 Okt (Bernama) -- Pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan laluan alternatif berikutan penutupan beberapa jalan sempena perlumbaan berbasikal Le Tour de Langkawi (LTdL) 2025 peringkat ketujuh di Johor, Sabtu ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP M Kumarasan berkata penutupan jalan dilaksanakan dari jam 12 tengah hari hingga 6.30 petang di sekitar Jalan Raya Tanjung Kupang, Gelang Patah dan Iskandar Puteri.

“Antara laluan alternatif yang boleh digunakan ialah Forest City–Lebuhraya Tanjung Pelepas–Pusat Bandar Johor Bahru/Kuala Lumpur, bagi pengguna dari arah Jabatan Marin Malaysia Wilayah Selatan.

“Selain itu, pengguna juga boleh menggunakan laluan Persiaran Golf 5 atau Persiaran Medini 3–Lebuh Kota Iskandar–susur keluar Jalan Ismail Sultan, bagi mereka dari arah Medini, Hotel Ramada by Wyndham Meridin Johor Bahru atau Sunway Big Box Retail Park,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau menegaskan pengguna jalan raya perlu mematuhi arahan polis trafik serta pelan lencongan ditetapkan, selain sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan atau cuba melakukan provokasi,” katanya.

LTdL 2025, edisi ke-29, dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan melalui Majlis Sukan Negara (MSN) bermula 28 Sept hingga 5 Okt ini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan