Seorang Anggota Tentera Maut, Enam Lagi Cedera Trak Tentera Terbabas Di Menora

01/10/2025 10:07 PM

IPOH, 1 Okt (Bernama) -- Seorang anggota tentera maut manakala enam lagi cedera selepas sebuah trak tentera terbabas dalam kemalangan di KM257 Lebuhraya Utara Selatan Arah Utara, selepas Terowong Menora di sini hari ini. 

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sayani Saidon berkata pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 4.59 petang tadi, dan pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BPP) Kuala Kangsar dan Meru Raya dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Lima mangsa telah dikeluarkan sebelum jentera sampai, manakala dua mangsa tersepit di bahagian belakang.

“Mangsa yang meninggal dunia telah berjaya dikeluarkan pada jam 5.54 petang dan seorang lagi mangsa yang cedera berjaya dikeluarkan pada jam 6.14 petang,” katanya dalam kenyataan.

Kesemua mangsa dihantar ke Hospital Kuala Kangsar dan Hospital Taiping untuk tindakan lanjut. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar ACP Heisham Harun berkata kenderaan trak tentera milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tersebut, telah terbabas dan terjatuh ke dalam gaung. 

“Siasatan awal pihak polis di tempat kejadian mendapati kenderaan trak tentera milik ATM itu dipercayai telah hilang kawalan, terbabas ke kiri jalan, terbalik dan terjatuh ke dalam gaung sedalam 20 kaki.

“Akibat kemalangan itu, dua orang mangsa mengalami cedera parah, empat mangsa mengalami cedera ringan dan seorang mangsa disahkan maut dilokasi kemalangan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan dengan kes kemalangan itu menghubungi Pegawai Penyiasat Perundangan/Pendakwaan Trafik, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kuala Kangsar Insp Amaliena Azman di talian 05-7762222.

Kes disiasat dibawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan