Cubaan Sindiket Warga Sri Lanka Guna Identiti Kanak-kanak Dapatkan Pasport Malaysia Gagal

01/10/2025 08:21 PM

KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Cubaan sindiket warga Sri Lanka menggunakan identiti seorang kanak-kanak berusia 10 tahun untuk mendapatkan pasport Malaysia digagalkan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur di Pejabat Imigresen UTC Pudu di sini pagi tadi.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata dalam kejadian kira-kira 10.15 pagi itu, seorang lelaki warga Sri Lanka hadir bersama seorang wanita tempatan yang mendakwa sebagai ibunya untuk membuat permohonan pasport kali pertama kategori kanak-kanak berumur 10 tahun.

“Kecurigaan timbul apabila pegawai imigresen mendapati fizikal lelaki itu jauh lebih berusia berbanding umur yang tertera pada sijil kelahiran yang dikemukakan.

“Cubaan berkomunikasi asas dalam bahasa Melayu turut gagal apabila lelaki itu tidak memahami arahan mudah termasuk ketika diminta membuat pengesahan biometrik,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Wan Mohammed Saupee berkata hasil siasatan lanjut mendapati wanita tempatan terbabit bertindak atas arahan sindiket yang menawarkan ‘jalan pintas’ bagi warga Sri Lanka mendapatkan pasport Malaysia.

Menurut Wan Mohammed Saupee, modus operandi sindiket itu ialah menggunakan sijil kelahiran anak kandung wanita tempatan bagi membolehkan lelaki warga asing berkenaan memohon pasport Malaysia dengan menyamar sebagai anaknya.

Beliau berkata kedua-dua individu itu ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Akta Pasport 1966 (Akta 150), manakala beberapa dokumen dan telefon bimbit dipercayai digunakan sindiket turut dirampas.

Wan Mohammed berkata siasatan sedang dijalankan bagi mengesan rangkaian sindiket berkenaan, yang  terlibat dalam cubaan memperoleh dokumen perjalanan antarabangsa secara tidak sah.

“Tindakan menyamar sebagai warganegara Malaysia untuk memperoleh pasport adalah satu penipuan sistematik yang menjejaskan keselamatan negara.

“Warganegara yang dokumen mereka disalahgunakan berdepan risiko penyalahgunaan identiti, masalah undang-undang dan rekod jenayah palsu,” katanya.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan