PUTRAJAYA, 1 Okt (Bernama) -- Kerangka undang-undang Deferred Prosecution Agreement (DPA) atau Perjanjian Pendakwaan Tertunda dijangka dimuktamadkan pada hujung tahun ini sebelum dibentangkan di Parlimen tahun hadapan.
Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki berkata draf berkenaan sedang dirangka bersama Jabatan Peguam Negara dengan proses libat urus turut dijalankan bersama beberapa agensi penguat kuasa dan jabatan kerajaan berkaitan.
“DPA adalah rang undang-undang yang dicadangkan oleh SPRM dan telah dipersetujui oleh Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-58 di Puspanita Puri di sini hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Anwar, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.
Terdahulu, Azam dalam ucapannya berkata pelaksanaan DPA yang diamalkan di negara maju seperti Amerika Syarikat dan United Kingdom memberikan ruang kepada kerajaan untuk mempercepatkan usaha pemulihan aset, mengurangkan kerugian dana awam akibat salah guna kuasa serta meningkatkan keberkesanan pendakwaan kes rasuah korporat.
“Segala usaha ini tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa iltizam politik yang jelas serta sokongan penuh daripada Kerajaan Persekutuan,” katanya.
Majlis ulang tahun kali ini turut menyaksikan pelancaran inisiatif Keep Malaysia Clean (KMC), satu pelan induk nasional yang dirangka SPRM bersama Panel Perundingan Pencegahan Rasuah (PPPR) diketuai pengerusinya Datin Yasmin Ahmad Merican.
KMC adalah platform strategik yang menggerakkan masyarakat daripada peringkat prasekolah hingga ke alam pekerjaan untuk membina budaya masyarakat sivik yang menolak rasuah, sekali gus memperkukuh integriti, ketelusan dan akauntabiliti pada semua peringkat.
Azam berkata perjalanan lebih lima dekad penuh cabaran itu telah membentuk SPRM sebagai sebuah institusi utama negara dalam mempertahankan integriti dan menegakkan keadilan dengan aspirasi untuk menjadi agensi pencegahan rasuah bertaraf dunia.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial