HULU SELANGOR, 1 Okt (Bernama) -- Seorang penceramah motivasi popular, yang mempunyai ramai pengikut di media sosial ditahan selepas dikesan menggunakan nombor pendaftaran diubah suai bagi mengelakkan dikesan sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan berkata lelaki berusia 50 tahun itu dikesan menggunakan nombor pendaftaran tulen pada bahagian hadapan kenderaan utiliti sukan (SUV) miliknya, tetapi memasang nombor plat hampir sama pada bahagian belakang dengan menggugurkan satu huruf bagi mengelirukan sistem AWAS.
Beliau berkata tindakan penceramah itu mengakibatkan saman berjumlah lebih RM12,600 yang terkumpul sejak September 2023 dikeluarkan kepada pemilik nombor pendaftaran yang hampir sama.
“Kes ini dikesan selepas pemilik nombor pendaftaran hampir sama yang berasal dari Perlis disenarai hitam akibat saman yang bukan dilakukan olehnya.
“Pemilik asal membuat laporan selepas dikenakan tindakan senarai hitam atas kesalahan yang tidak dilakukannya dan hasil siasatan kami mendapati ia dilakukan oleh kenderaan lain yang sama jenis dan model tetapi berwarna berbeza,” katanya pada sidang media di Stesen Penguatkuasa JPJ Kalumpang di sini hari ini.
Muhammad Kifli berkata melalui risikan dan siasatan, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 50 tahun di Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Hentian Rehat dan Rawat Behrang pada 9.30 malam, Sabtu lepas bersama kenderaan terbabit.
Beliau berkata siasatan lanjut mendapati nombor pendaftaran RF pada bahagian belakang kenderaan itu milik individu lain yang mempunyai 42 saman AWAS.
“Lelaki terbabit mengaku mengubah suai nombor plat belakang bagi mengelak dikesan AWAS dan kesemua saman itu kini telah dipindahkan semula kepada kenderaan sebenar,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 108(3)(f) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mempamerkan nombor pendaftaran palsu, manakala kenderaan turut disita mengikut Seksyen 64(1) akta sama.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial