Warga Kemboja Didenda RM900 Kerana Guna Kekerasan Jenayah, Keluarkan Kata-kata Kesat

01/10/2025 01:57 PM

SEPANG, 1 Okt (Bernama) -- Seorang lelaki warga Kemboja hari ini didenda RM900 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana menggunakan kekerasan jenayah dan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap dua petugas syarikat penerbangan pada 28 Sept lepas.

Majistret Khairatul Animah Jelani membuat keputusan itu selepas menerima pengakuan bersalah Lin Weida, 42, setelah kedua-dua pertuduhan dibacakan dalam Bahasa Mandarin oleh jurubahasa mahkamah.

Ejen pelancongan itu didakwa menggunakan kekerasan jenayah terhadap pegawai keselamatan Batik Air Sheikh Muhammad Syafiq Sh Khalid di Bangunan Satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 7.50 malam 28 Sept lepas mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara tiga bulan atau denda RM1,000 atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan ini, Khairatul Animah mengenakan hukuman denda RM800 atau penjara sebulan.

Weida juga didakwa menggunakan kata-kata kesat terhadap kru kabin Batik Air Yuszai Yusof pada hari sama kira-kira 5.20 petang dalam penerbangan OD606 dari Hong Kong ke KLIA Terminal 1 mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 yang memperuntukkan denda maksimum RM100 dan bagi kesalahan ini, mahkamah mengenakan hukuman denda RM100 atau penjara sebulan. 

Tertuduh membayar denda yang dikenakan ke atasnya bagi kedua-dua kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norfarhanim Abdul Halim manakala tertuduh diwakili peguam M. Sivam.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan