Polis Siasat Kenyataan UMANY Gesa Program Matrikulasi Dimansuh

16/09/2025 03:51 PM

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung kenyataan Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (UMANY) baru-baru ini yang menggesa supaya program matrikulasi dimansuhkan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata ini susulan lima laporan polis yang diterima setakat ini selepas kenyataan Presiden UMANY Tang Yi Ze disiarkan oleh sebuah portal berita baru-baru ini.

“Kenyataan tersebut dilaporkan menggesa Kementerian Pendidikan Tinggi memansuhkan program matrikulasi dan menjadikan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) sebagai piawaian tunggal kemasukan ke universiti awam.

“Kenyataan berkenaan didapati boleh mewujudkan persepsi negatif terhadap sistem pendidikan negara, mencetuskan ketidakpuasan hati masyarakat serta kegentaran awam,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Kumar berkata PDRM tidak akan berkompromi dalam menangani sebarang kenyataan yang boleh menjejaskan ketenteraman awam dan orang ramai juga dinasihat supaya berhemah serta bertanggungjawab ketika mengeluarkan sebarang kenyataan di ruang awam mahupun di media sosial.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan