SPRM Reman Ejen Hartanah Disyaki Kemuka Dokumen Palsu

26/08/2025 09:55 PM

KUALA TERENGGANU, 26 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan reman seorang ejen hartanah bagi membantu siasatan berhubung dakwaan mengemukakan dokumen palsu membabitkan kerja pengubahsuaian sebuah rumah, tiga tahun lalu.

Perintah reman selama empat hari bermula hari ini hingga Jumaat terhadap lelaki berusia lingkungan 50-an itu dikeluarkan oleh Majistret Iffah Nabihah Mohd Ishak di Mahkamah Majistret di sini, selepas permohonan dibuat SPRM.

Menurut sumber, suspek ditahan kira-kira pukul 12 tengah hari semalam ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Terengganu.

“Siasatan awal mendapati suspek disyaki melakukan perbuatan itu membabitkan amaun RM16,000 pada 2022 dengan mengemukakan sebut harga yang telah dipinda bagi kerja-kerja pengubahsuaian sebuah rumah kepada pemiliknya.

“Suspek juga dipercayai menerima wang rasuah daripada pemilik rumah berkenaan menerusi transaksi pemindahan wang ke akaun peribadinya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan berkenaan dan memaklumkan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan