Papagomo Dihukum Penjara 30 Hari , Hina Mahkamah

27/08/2025 05:43 PM

KUALA LUMPUR, 27 Ogos (Bernama) -- Mahkamah Tinggi hari ini menjatuhkan hukuman penjara 30 hari terhadap blogger Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo, selepas didapati melanggar perintah injunksi berhubung saman fitnah yang difailkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.

Pesuruhjaya Kehakiman GanTechiong ketika membacakan keputusan itu, mendapati Wan Muhammad Azri bersalah menghina mahkamah kerana melanggar perintah berkenaan sebanyak dua kali.

Bagi pelanggaran pertama awal tahun ini, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara 15 hari, manakala bagi pelanggaran kedua pada Mei lalu, beliau turut dikenakan 15 hari penjara.

Gan memerintahkan hukuman itu berjalan secara berasingan, menjadikan tempoh keseluruhan 30 hari. Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan.

Mahkamah turut memerintahkan Wan Muhammad Azri membayar kos RM30,000 kepada Razarudin dalam tempoh tiga hingga empat hari.

Injunksi itu sebelum ini dikeluarkan bagi menghalang Wan Muhammad Azri daripada mengeluarkan atau mengulang sebarang kenyataan berbaur fitnah terhadap Razarudin di media sosial.

Bagaimanapun, mahkamah mendapati permohonan maaf yang dimuat naik di media sosial pada 30 April lepas tidak memadai.

Video permohonan maaf itu dianggap tidak jelas kerana dimainkan dengan kelajuan tinggi, selain disertakan muzik latar daripada filem klasik P. Ramlee, Pendekar Bujang Lapok.

“Penggunaan muzik P. Ramlee menjadikan video itu seolah-olah hiburan dan bukannya permohonan maaf yang ikhlas. Tujuan permohonan maaf adalah untuk membersihkan penghinaan terhadap mahkamah. Atas alasan ini sahaja sudah cukup untuk mensabitkan beliau bersalah menghina mahkamah,” kata Gan.

Beliau menegaskan, selepas memohon maaf tanpa syarat di mahkamah pada 30 April lepas, Wan Muhammad Azri sepatutnya menahan diri daripada membuat sebarang kenyataan lanjut.

Namun, katanya, blogger berkenaan gagal berbuat demikian apabila memuat naik video baharu keesokan harinya bagi menjelaskan permohonan maaf tersebut.

“Video berkenaan tidak menunjukkan sebarang kekesalan, malah jelas bahawa permohonan maaf dibuat hanya untuk mengelak hukuman menghina mahkamah,” katanya.

Pada 27 Disember tahun lepas, Razarudin memfailkan saman fitnah dengan nilai ganti rugi RM3 juta terhadap Wan Muhammad Azri membabitkan satu kenyataan yang turut mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan