GEORGE TOWN, 18 Ogos (Bernama) -- Polis menumpaskan sindiket pengedaran dadah selepas menahan lima lelaki serta merampas ganja seberat kira-kira 46 kilogram yang dianggarkan bernilai RM142,600 dalam serbuan di sini, antara 10 malam Jumaat hingga 7 pagi Sabtu lepas.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata serbuan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut itu menemukan dadah berkenaan yang disembunyikan di dalam dua buah rumah dan sebuah kereta.
“Kesemua suspek merupakan lelaki tempatan berusia 38 hingga 56 tahun, disyaki ahli sindiket pengedaran dadah yang ditahan di sebuah kediaman.
“Hasil pemeriksaan kemudian menemukan 30 dan 14 ketulan mampat tumbuhan kering disyaki dadah jenis ganja masing-masing dianggarkan seberat 29,948 gram dan 16,179 gram dalam dua kediaman serta sebuah kenderaan jenis Toyota Alphard,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Selain dadah, beliau berkata pihaknya turut menyita dua kereta jenis Perodua Bezza dan Honda Accord bernilai RM47,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan serta sitaan berjumlah RM189,600.
Azizee berkata risikan mendapati sindiket telah bergiat aktif sejak Februari lepas dan jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan 92,000 orang.
Beliau berkata ujian air kencing mendapati empat daripada suspek positif dadah jenis Tetrahydrocannabinol (THC) manakala seorang lagi positif methamphetamine selain dua daripada mereka mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.
Azizee berkata kesemua suspek direman selama tujuh hari hingga 22 Ogos ini untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial