Dua Beradik Didakwa Edar Dadah Lebih 35 Kg

18/08/2025 04:49 PM

KOTA BHARU, 18 Ogos (Bernama) -- Dua beradik didakwa secara berasingan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar dadah disyaki jenis Kanabis seberat 35.58 kilogram (kg), dua minggu lepas.

Tiada pengakuan direkodkan daripada Ahmad Ammar Rusydi Mohd Hanapi, 23, dan Mohammed Hibatul-Alimi Mohd Hanapi, 34, selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Amal Razin Alias dan Majistret Wan Mohd Izzat Wan Abdullah, kerana kes itu di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, Ahmad Ammar Rusydi didakwa mengedar dadah seberat 14.78 kg di sebuah rumah dekat Kampung But, Ketereh di sini, kira-kira 4.30 petang pada 5 Ogos lepas.

Mohammed Hibatul-Alimi pula didakwa mengedar dadah seberat 20.8 kg di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Kedua-dua pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup, dan jika tidak dihukum mati, boleh dikenakan hingga 12 sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Syamsul Ikhmal Ramli dan Nur Haziqah Hassan, manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Muhammad Hasif Hasan.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Okt untuk sebutan semula kes Ahmad Ammar Rusydi manakala kes Mohammed Hibatul-Alimi pada 27 Okt depan.

Sementara itu, Ahmad Ammar Rusydi turut berdepan satu lagi pertuduhan di Mahkamah Sesyen, iaitu memiliki senjata api dan peluru hidup di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Tertuduh mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan. 

Dia didakwa memiliki senjata api jenis Glock AEKZ847 Mariner 9x19 USA berserta 16 peluru hidup yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 14 tahun dan sebatan minimum enam kali, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Faiz Fitri Mohamad, manakala tertuduh diwakili peguam Muhammad Hasif Hasan.

Mahkamah menetapkan 22 Sept depan untuk sebutan semula kes.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan