Mayat Lelaki Di Tepi Landasan Kereta Api Disahkan Dijerut Tali - Polis

01/08/2025 06:25 PM

KUALA LUMPUR, 1 Ogos (Bernama) -- Bedah siasat ke atas mayat lelaki yang ditemukan berhampiran landasan kereta api di Sungai Serian, Kalumpang, Hulu Selangor semalam mengesahkan mangsa maut akibat dijerut menggunakan tali.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Ibrahim Husin berkata setakat ini identiti mangsa belum diketahui dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Terdapat kesan jerutan pada leher mangsa dengan menggunakan tali dan kesan jerut disyaki sama dengan tali (seperti rantai) yang dipakai pada leher mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mayat lelaki itu ditemukan orang awam kira-kira 10.30 pagi semalam dalam keadaan kaki dan tangan terikat serta kepala dibalut kain dan dilekatkan dengan pita pelekat hitam dan putih.

Ibrahim dilaporkan berkata berdasarkan siasatan awal, mayat berkenaan dipercayai dicampak dari jambatan Kampung Sungai Serian setinggi 11.15 meter.

Pemeriksaan juga mendapati mangsa telah meninggal dunia lebih empat hari dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi pegawai penyiasat Insp Mohamad Fadli Abdul Aziz di talian 03-6064 1222 atau tampil ke balai polis berhampiran.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan