Ad Banner
 AM > BERITA

UK Sedia Teroka Kerjasama Pelbagai Bidang Pendidikan Dengan Malaysia

02/08/2025 12:20 PM

KUALA LUMPUR, 2 Ogos (Bernama) -- United Kingdom (UK) menyatakan kesediaan untuk meneroka peluang kerjasama dengan Malaysia dalam pelbagai bidang termasuk pemindahan teknologi, pembangunan kurikulum bersama, pertukaran pelajar dan tenaga pengajar.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata kerjasama lain termasuk program latihan kemahiran khusus dalam bidang masa depan seperti tenaga boleh diperbaharui, teknologi hijau, automasi dan kecerdasan buatan (AI).

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook selepas menerima kunjungan hormat Menteri Kemahiran UK Baroness Jacqui Smith di Putrajaya hari ini.

“Pertemuan dua hala ini membuka ruang perbincangan yang konstruktif ke arah memperkukuh kerjasama strategik antara Malaysia dan United Kingdom dalam bidang pendidikan tinggi dan pembangunan kemahiran.

“Saya berkongsi bahawa Malaysia kini mempunyai 36 politeknik dan 105 kolej komuniti yang berperanan penting dalam memperkasakan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

“Institusi-institusi ini bukan sahaja melahirkan graduan berkemahiran tinggi, malah sedang giat memperluas pelaksanaan pendekatan pembelajaran berasaskan kerja (WBL) serta memperkukuh hubungan dengan industri tempatan dan antarabangsa,” katanya.

Zambry berkata beliau yakin kerjasama itu akan membuka lebih banyak peluang mobiliti dan inovasi pendidikan sekali gus mempersiapkan tenaga kerja masa hadapan yang lebih kompeten dan berdaya saing di peringkat global.

Beliau berkata ini juga menunjukkan bahawa negara luar semakin mengiktiraf Malaysia sebagai antara hab pendidikan tinggi terbaik di rantau ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan