KUALA TERENGGANU, 30 Julai (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Terengganu merampas 1,405 unit cecair isian semula rokok elektronik tiruan bernilai RM21,094, salam operasi yang dijalankan semalam.
Pengarahnya Mohd Mufsi Lat berkata rampasan itu dibuat hasil serbuan ke atas empat premis perniagaan di sekitar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
Beliau berkata empat lelaki warga tempatan berusia lingkungan 40-an dipercayai pemilik dan pekerja kedai turut ditahan untuk membantu siasatan.
"Operasi melibatkan 46 anggota penguat kuasa termasuk dari KPDN, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu dan Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Nerus.
"Serbuan dijalankan susulan aduan yang diterima daripada pemilik cap dagangan berdaftar yang berkaitan. Hasil siasatan menemukan 1,405 unit cecair isian semula rokok elektronik yang dipakaikan cap dagangan secara salah di bawah Akta Cap Dagangan 2019 (Akta 815)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Mufsi berkata kes disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 yang jika sabit kesalahan, denda sehingga RM15,000 boleh dikenakan terhadap suatu pertubuhan perbadanan manakala denda hingga RM10,000 atau penjara hingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi individu.
KPDN tidak akan berkompromi dan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan aktiviti menjual barangan tidak mendapat kelulusan atau kebenaran pemilik cap dagangan berdaftar.
"Orang awam yang mempunyai maklumat boleh melaporkan kepada KPDN bersama butiran lengkap dan tepat melalui pelbagai saluran termasuk aplikasi WhatsApp di talian 019-8488000, pusat panggilan 1-800-886-800 dan aplikasi telefon pintar Ez Aduan KPDN," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial