ALOR GAJAH, 28 Julai (Bernama) -- Seorang penganggur lelaki disahkan maut selepas dipercayai dipukul sekumpulan individu susulan tindakannya disyaki melakukan kelucahan melampau di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Jasin, semalam, kata Ketua Polis Melaka Datuk Dzulkhairi Mukhtar.
Beliau berkata dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, mangsa berusia 51 tahun maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di bahagian badan dan lelaki berkenaan mempunyai dua rekod lampau di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan kerana melakukan kelucahan melampau di tempat umum pada 2003 dan 2024.
"Berdasarkan siasatan awal, mangsa dikatakan melakukan kelucahan melampau pada 7.26 malam sebelum dikejar dan dipukul oleh beberapa individu.
"Mangsa cuba melarikan diri sejauh kira-kira 200 meter termasuk terjun ke dalam sungai sebelum ditangkap oleh orang ramai dan dipukul sekali lagi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Melaka di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) di Durian Tunggal di sini hari ini.
Beliau berkata tujuh lelaki berusia antara 20-an hingga 50-an termasuk seorang warga Pakistan direman tujuh hari bermula hari ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Dalam kes berasingan, Dzulkhairi berkata seorang penunggang motosikal berusia 30-an direman tiga hari bermula hari ini kerana memukul seorang lelaki berusia 20-an dalam satu pergaduhan berdekatan Bulatan Kancil di pekarangan Stadthuys, Banda Hilir, semalam.
Beliau berkata kejadian dikatakan berlaku apabila suspek bersama 17 rakannya yang juga penunggang motosikal disaman penguat kuasa Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) bertindak memasuki kawasan Zon Bebas Kenderaan (ZBK) di kawasan berkenaan menggunakan kenderaan masing-masing.
Penguat kuasa MBMB sebelum itu meminta kumpulan penunggang motosikal berkenaan supaya beredar, namun tidak diendahkan sebelum mereka disaman.
"Kumpulan disertai suspek kemudian mengoyakkan saman berkenan dan dilihat kumpulan penunggang motosikal lain yang disertai mangsa sebelum berlaku pergaduhan antara kedua-dua kumpulan itu.
"Mangsa yang dipukul dengan topi keledar serta pengunci tayar kemudiannya dikejarkan ke Hospital Melaka selepas cedera ringan," katanya.
Dzulkhairi berkata kesemua 23 individu terlibat ditahan antara 9.30 malam hingga 1 pagi tadi, namun 22 daripadanya dibebaskan dengan jaminan polis manakala suspek direman tiga hari.
Kes disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial