KOTA BHARU, 26 Julai (Bernama) -- Pasukan Gerakan Am (PGA) menahan dua warga Thailand dan merampas sepucuk pistol bersama 35 butir peluru dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Pauh Seratus, Pengkalan Kubor, Tumpat, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata serbuan pada 7.45 pagi itu dilakukan pasukan Strike Force Batalion 7 PGA bersama Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat, hasil maklumat risikan awam.
Beliau berkata tangkapan dibuat selepas pasukan serbuan memecah masuk rumah suspek yang berkunci dan menemui dua individu iaitu lelaki berusia 30 tahun dan wanita berusia 40 tahun dalam sebuah bilik.
"Hasil pemeriksaan menemui sepucuk pistol jenis Revolver .38 yang mengandungi enam butir peluru. Turut dirampas 29 butir peluru tambahan, satu kelongsong peluru, tiga unit telefon bimbit serta beberapa barangan lain," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek negatif dadah namun siasatan lanjut diteruskan mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial